Monday, March 22, 2010

Pengenalan Tentang Transformasi P.I.E.S

Buku yang ditulis ini adalah satu perkongsian saya dengan anda mengenai potensi diri sendiri. Manusia mempunyai sebab yang utama untuk wujud dan tinggal di muka bumi yang luas ini. Tidak ada seorang manusia yang wujud di dalam dunia ini sia-sia belaka kerana ia mempunyai potensi yang tersendiri dan tersembunyi. Malah, ia ada di dalam dialog di antara malaikat dengan Tuhan-Nya; ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau? Maka Tuhan berfirman; ‘Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui’ (2:30). Sesi dialog ini menerangkan bahawa, manusia bukanlah hanya mempunyai potensi untuk melakukan kerosakan dan kebinasaan, tetapi ada sesuatu perkara yang manusia dan malaikat sendiri tidak tahu akan potensi dan hikmah disebalik ciptaan manusia itu kecuali Tuhan!

Ramai di antara kita tidak mengambil peduli akan potensi yang ada di dalam diri sendiri. Bagi saya, terdapat tiga jenis golongan manusia yang wujud, iaitu yang pertama; Mereka yang kenal diri sendiri dan kenal seluruh potensi diri. Kedua, mereka yang kenal diri sendiri, tetapi mengenal sebahagian potensi sahaja dan ketiga, mereka yang tidak mengenal diri sendiri dan langsung tidak mengenal potensi diri sendiri. Ketiga-tiga golongan ini, berada di dalam dunia yang sama, tempat yang sama dan masa yang sama.

Dunia adalah tempat untuk kita melatih diri (training) sendiri supaya kita mampu membangkitkan potensi fitrah yang sudah disediakan khas untuk manusia. Namun yang demikian, sudahkah kita benar-benar mengenali potensi diri ini dengan sebenarnya? Saya yakin, memang besar perbezaan di antara orang yang kenal dan tidak mengenali potensi diri ini. Bagi mereka yang masih lagi belum menemukannya, maka, anda masih mempunyai masa dan ruang untuk mencarinya! Bagi mereka yang sudah memulakan langkah, anda mempunyai peluang yang cerah untuk memasuki jalan kecemerlangan dan bagi mereka yang sudah memasuki jalan kecemerlangan, anda harus mempertahankannya!

Manusia yang saya kategorikan sebentar tadi, iaitu yang pertama, mereka yang kenal diri sendiri dan kenal seluruh potensi diri ialah mereka yang mempunyai kekuatan, semangat yang tinggi dan luar biasa untuk keluar dari kepompong yang menutupi potensi diri bagi melihat dunia yang luas ini. Mereka yang di dalam kategori ini adalah mereka yang mempunyai karakter yang bukan kebiasaan dan hidup mereka adalah ‘seluas mata memandang’. Dunia mereka tidak ‘sempit’ dengan ideologi-ideologi, kefahaman dan kepentingan peribadi, tetapi mereka ini sering melapangkan dan sering merujuk kepada visi dan misi kehidupan yang jelas bagaikan bumi yang di berikan cahaya matahari untuk melihat. Inilah karakter peribadi mereka yang berada di dalam kategori yang pertama. Pengenalan diri sendiri yang jelas dan nyata, interaksi diri yang tulus dan amalan yang benar, mampu membawakan diri mereka kepada satu aras kehidupan yang hebat. Manusia dalam kategori ini adalah mereka yang disebutkan di dalam kitab Al-Quran iaitu ‘Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah kepada Tuhan’. Inilah visi dan misi mereka yang jelas. Potensi yang dicurahkan dan diamalkan adalah potensi yang selari dengan potensi fitrah kejadian dirinya. Maka, manusia ini adalah manusia yang bebas lagi merdeka dalam melakukan apa sahaja selagi tidak melanggar potensi fitrahnya.

Manusia yang berada di dalam kategori yang kedua pula, mereka yang kenal diri sendiri, tetapi tidak mengenal potensi diri sendiri ialah mereka yang masih mencari-cari akan kebolehan dan hikmah kejadian diri mereka sendiri. Mereka mempunyai kefahaman yang jelas tentang hakikat kewujudan dirinya, tetapi masih lagi kabur untuk mencurahkan potensi tersebut. Golongan ini sebenarnya mempunyai belenggu yang tersendiri dan amat memerlukan kepada kesungguhan yang bersifat ‘total’ dari diri sendiri! Apakah belenggu itu? Golongan ini kebanyakkan berada di dalam situasi ‘serba bersalah’ pada diri sendiri kerana potensi yang cuba di curahkan itu telah bercanggah dengan potensi fitrahnya. Ia seolah-olah seperti runtuhnya bangunan yang cuba dibina! Oleh kerana belenggu yang ada di dalam dirinya amat tebal dan keras, maka, potensi itu terus dicurahkan walaupun ia sering bercanggah dengan intuisi dirinya. Namun yang demikian, apakah belenggu yang dihadapi oleh golongan kedua ini? Belenggu ini ialah wanita, kemewahan, pangkat, kemahsyuran dan kesenangan yang bersifat sementara. Hal ini disebutkan di dalam kitab Al-Quran; ‘Dijadikan indah pada pandangan manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini iaitu wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang ternak, dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia…(3:14). Inilah sebahagian belenggu yang bermain di dalam benak pemikiran mereka yang berada di dalam kategori kedua.

Visi dan misi mereka yang berada di dalam kelompok kedua ini adalah berubah-ubah dan tidak bersifat konsisten. Ia sering diuji dengan pelbagai ujian dan dugaan terhadap kehendak diri sendiri. Kadangkala, oleh kerana kehendak suara hati yang begitu dominon di dalam dirinya, maka ia akan mengenepikan buat sementara intuisi yang jernih di dalam dirinya untuk memuaskan keperluan dirinya. Dan akhirnya, mereka akan rasa bersalah dengan tindakan mengenepikan suara hati yang suci itu dan menyesal.

Ketiga pula, manusia yang tidak mengenal diri dan tidak mengenal potensi dirinya. Kategori ketiga ini ialah mereka yang tidak mempunyai visi dan misi yang jelas. Bagi dirinya, apa sahaja yang mampu memberikan kepuasan dan kenikmatan pada jasad fizikalnya, maka ia akan bertindak dalam apa jua bentuk bagi memenuhi keperluan itu. Visi dan misi kehidupannya tidak jelas malah mungkin tidak ada kerana ia bukanlah satu perjalanan yang penting untuk di lalui, tetapi ia adalah satu kesulitan baginya untuk terus hidup di muka bumi ini. Potensi yang ada di dalam diri manusia ketiga inilah yang disebutkan dalam dialog para malaikat dan Tuhan tadi. Potensi inilah yang amat dibimbangkan oleh sekalian malaikat. Kategori manusia ketiga ini ada dinyatakan di dalam kitab Al-Quran; ‘Sesungguhnya manusia itu sangat ingkar, tidak berterima kasih kepada Tuhannya, dan sesungguhnya dia sangat bakhil kerana cintanya kepada harta…’ (100:6-7).

Inilah rahsia yang ada di dalam penciptaan manusia di muka bumi ini. Tidaklah manusia itu diciptakan dengan satu potensi dan satu tujuan sahaja seperti yang dibimbangi oleh para malaikat. Tetapi ada potensi yang lain, mampu membawa manusia untuk mengenal siapakah dirinya dan apakah misi yang perlu di laksanakan di muka bumi ini. Bumi laksana tempat persinggahan bagi seorang pelayar yang jauh perjalanannya. Maka, beruntunglah bagi mereka yang sedar dan faham akan makna menjadi seorang pelayar yang hanya berhenti sementara untuk berehat. Jadi, secara skemanya saya nyatakan kategori manusia di dalam dunia ini ialah 3; iaitu KENAL DIRI SENDIRI, KENAL POTENSI DIRI; KENAL DIRI SENDIRI, TIDAK KENAL POTENSI DIRI; TIDAK KENAL DIRI SENDIRI, TIDAK KENAL POTENSI DIRI.

Buku yang sedang dibaca anda ini akan menjelaskan ciri manusia yang pertama iaitu KENAL DIRI SENDIRI, KENAL POTENSI DIRI secara ekspilisit, sesuai dengan revolusi abad ke 21 ini. Jika persekitaran dunia ini berubah-ubah menurut kemahuan dan kehendak manusia yang tidak ada penghujungnya, maka kini, kita harus membuat pilihan terhadap diri sendiri. Apakah yang anda inginkan di muka bumi ini? Apakah yang anda kumpulkan di dunia ini? Dan apakah yang dicari-cari selama ini, sejak anda dilahirkan hinggalah anda meningkat dewasa. Apakah yang anda ingin cari sebenarnya?

Buku mengenal potensi diri melalui potensi Physical, Intellectual, Emotional dan Spiritual atau ringkasnya P-I-E-S ini akan membantu anda dalam mengenali dan menghayati perjuangan dan jalan yang seharusnya kita ambil sebagai jalan yang jelas lagi terang untuk mendapatkan apa yang seharusnya bagi kita yang bernama manusia.

Buku ini mengandungi konsep PENGENALAN – INTERAKSI – AMALAN yang benar menurut rujukan yang sehingga hari ini tidak mampu ditandingi dan tidak mampu diubah, iaitu rujukan menerusi kitab suci Al-Quran. Gabungan dari disiplin ilmu yang lain seperti psikologi, falsafah, sains dan sebagainya adalah sekadar pembuktian bahawa Al-Quran itu maha benar dan tidak sedikit pun mempunyai kesalahan yang serius. Berbeza dengan kitab-kitab yang suci terdahulu kemudian telah berlaku campurtangan yang banyak mempunyai kepentingan, merosakkan kesuciannya. Kini, tidak ada satu penolakan yang besar di dalam pedoman manusia hari ini untuk kembali kepada rujukan yang sebenar kerana walaupun manusia itu menolak secara zahiriah, tetapi batiniahnya tidak mampu untuk menafikannya kerana batinnya adalah dijadikan menurut fitrah yang telah ditetapkan oleh pencipta-Nya yang Agung.

Kemudian Dia menyempurnakan dan meniupkan ke dalam tubuhnya ROH (ciptaaan)-Nya dan Dia menjadikan kamu pendengaran, penglihatan dan hati…(32:9)

Konsep PENGENALAN – INTERAKSI – AMALAN bukanlah bersifat linear sahaja; bermaksud semua ilmu yang dikongsikan ini berhenti di sini sahaja, tetapi ia adalah kitaran (rotation). Sudah pasti dan saya yakin bahawa ilmu yang ada di muka bumi ini bukanlah bersifat linear, malah ia akan bertambah-tambah berkembang dan terus berkembang, bagaikan bunga yang segar, berkembang di waktu pagi! Inilah konsep buku yang diterapkan kepada anda. Setiap bahagian akan memberikan pengenalan yang jelas dan nyata, dari sudut definisi dan dimensinya. Ia amat penting kerana pengenalan yang jelas lagi nyata akan meletakkan diri anda di dalam semantik yang lurus kepada kebenaran. Jika pengenalan yang tidak jelas dan nyata diberikan kepada anda, saya yakin, kefahaman dan keyakinan yang lahir selepas anda membaca buku ini pasti terpancar sinarannya, sedangkan niat saya adalah untuk membawa pancaran ini kepada satu pancaran yang sama, sudut yang sama dan hasilnya yang maksima! Bagaikan cahaya laser!

Semasa saya menulis buku ini juga, terlintas di fikiran saya, mengapa ramai manusia yang lahir di muka bumi ini, mempunyai pelbagai perbezaan dari sudut kefahaman, pegangan dan amalan? Dan hari ini juga, terbukti dengan jelas bahawa, kata-kata seorang nabi, mengatakan bahawa; bayi yang baru dilahirkan itu adalah dalam keadaan fitrah, putih bagaikan kain yang bersih. Maka kedua ibubapa merekalah yang mencorakkannya! Saya berfikir, inilah bukti bahawa pengenalan yang jelas lagi nyata kepada generasi yang baru lahir di muka bumi ini akan membawa kepada kemakmuran dan kedamaian! Tidak akan ada peperangan! Mengapa saya berkata begitu? Jika ibubapa mereka tidak mengajarkan atau tidak memperkenalkan satu cara hidup yang penuh dengan dendam, marah, pentingkan diri, dan semua perkara yang negatif di muka bumi ini, saya kira, sudah pasti generasi akan datang ini akan membawa kepada keharmonian yang sejahtera, akibat daripada pengenalan tentang kehidupan yang jelas lagi nyata!

Di sinilah konsep pencorakkan yang saya akan bawakan kepada anda menerusi buku ini. Saya akan mencorakkan satu corak yang berlandaskan kepada corak yang harus digunakan oleh semua manusia, iaitu corak dari Al Quran. Corak inilah yang paling indah, lagi menawan hati-hati manusia yang mana ia telah terbukti sejak 1400 tahun yang lalu, seorang manusia yang telah dicorakkan hatinya dengan Al-Quran! Bayangkan, ramai manusia yang terhasil dari corakan Al-Quran! Bukankah dunia ini bagaikan syurga?

Konsep interaksi pula membawa makna kepada hubungan vertikal dan horizontal. Hubungan interaksi ini akan ‘bersambung’ setelah pengenalan yang jelas lagi nyata yang diberikan kepada anda. Anda akan mampu membina hubungan ini secara serentak kerana ia sudah disediakan untuk anda, di dalam diri anda sendiri! Saya akan bawakan kepada anda untuk mengenalpasti konsep interaksi menerusi bab yang akan dibincangkan dalam buku ini. Interaksi juga adalah satu keadaan yang akan melahirkan keyakinan dan kesungguhan. Sepertimana anda sedang bercakap menerusi telefon. Anda sedang ‘bersambung’ dengan orang yang anda sedang bercakap. Dan anda yakin dengan orang yang anda sedang bercakap itu kerana anda tahu siapa yang sedang berinteraksi dengan anda walaupun anda tidak melihat wajahnya! Inilah konsep interaksi yang akan dilakukan oleh anda sebaik sahaja anda membaca buku ini kerana ‘sambungan’ itu akan berlaku secara terus (automatic) kerana ada keyakinan.

Kemudian, keyakinan yang timbul dari interaksi ini perlu dikekalkan dengan amalan, iaitu secara praktikal. Praktikal yang anda akan jalani ini sebenarnya sudah anda lakukannya menerusi aktiviti kehidupan seharian anda! Bagaimana? Ia bermula sejak anda bangun daripada tidur hinggalah anda kembali untuk tidur. Ia telah dilakukan oleh anda tetapi jarang orang menyedarinya. Kualiti amalan menerusi aktiviti kehidupan seharian anda ini akan ditingkatkan kepada satu tahap yang lebih baik setelah anda memahami isi kandungan buku ini.

Akhirnya, setelah anda sedar dan tahu bahawa sebenarnya anda telah melakukannya, akan timbul pelbagai soalan dan inkuiri. Bagaimana untuk memenuhi dan menjawab persoalan yang timbul ini? Maka, akhirnya anda akan kembali kepada pengenalan semula!

Inilah konsep PENGENALAN – INTERAKSI – AMALAN! Ia adalah berbentuk kitaran dan bukannya linear! Saya yakin, pelbagai persoalan akan timbul dan persoalan itu haruslah menemukan jawapannya agar anda berada pada tahap yang lebih baik dan matang dalam kehidupan anda!

Jauhkan diri anda daripada dogma! Jauhkan diri anda daripada mengikuti suatu perkara yang anda sendiri tidak jelas dan tidak ada suatupun yang menjelaskan dengan pengenalan yang jelas dan nyata! Ia pasti merosakkan potensi fitrah anda yang hebat itu. Mengapa saya mengatakan begitu? Jawapannya adalah Krisis Pemikiran! Kebanyakkan dari kita, memahami sesuatu perkara itu bukanlah daripada usaha kita sendiri tetapi ia bersifat ‘TOP-DOWN’, iaitu perpindahan maklumat dari generasi dulu kepada generasi baru.

Tidak ada perubahan dan penyelidikan yang mampu memberikan kepuasan dalam melakukan satu amalan. Inilah penyakit yang ada di dalam diri manusia. Mudah menerima satu perkara tanpa ada usaha menyelidik. Buku ini akan membantu anda dalam melakukan beberapa anjakan paradigma yang usang kepada yang baharu dan lebih diyakini buktinya! Mari kita mulakan penjelajahan ilmu!

Potensi Tanpa Batas Manusia

Hamba-Ku senantiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan ibadah-ibadah sunnat sehingga Aku mencintainya. Maka Aku akan menjadi pendengarannya, yang ia akan mendengar dengan pendengaran-Ku; dan Aku menjadi penglihatannya yang dengan penglihatan-Ku ia akan melihat; dan Aku menjadi lisannya, yang dengan lisan-Ku ia akan bertutur kata, dan Aku menjadi Qalbunya yang dengan Qalbu-Ku ia akan berfikir; maka apabila ia berdoa kepada-Ku, Aku akan mengabulkannya; dan apabila ia meminta kepada-Ku, nescaya akan Aku memberikannya; dan jika ia meminta pertolongan kepada-Ku, nescaya Aku akan menolongnya. Dan suatu ibadah yang paling Aku senangi yang ia lakukan adalah mengerjakan sesuatu perbuatan sebersih-bersihnya untuk-Ku.

(Hadith Qudsi Riwayat At Thabrani dari Abu Umamah R.A)

Manusia dan Kejayaan

Istilah kejayaan amat luas sekali! Definisi kejayaan bukanlah hanya sekeping kertas yang menyatakan anda telah berjaya mendapat semua ‘A’ atau markah yang tertinggi di dalam kelas pengajian anda tetapi kejayaan itu adalah kepuasan dan proses untuk mendapatkannya! Di dalam buku Napolean Hill, antaranya ‘The Law of Success’ ada mengatakan bahawa kejayaan itu mempunyai kesan peninggalannya yang tersendiri dan mempunyai rahsia yang amat unik sekali. Ia perlu dilalui serta diterokai dengan sifat (values) yang tinggi oleh manusia.


Tetapi malangnya, manusia amat suka mengambil jalan pintas dan mudah untuk mencapai kejayaan yang mereka inginkan dalam jangka masa yang amat pendek! Bukankah jalan pintas itu mempunyai risiko yang tersendiri? Jika anda sebagai pelajar di universiti, jalan pintas anda ialah plagiamrisme, ponteng, meniru dan sebagainya. Jika anda sebagai pekerja di sebuah majikan, jalan pintas anda ialah melakukan rutin harian tanpa ada inovasi serta motivasi, melakukan penyimpangan dan sebagainya untuk peroleh apa yang di definasikan sebagai kejayaan itu. Adakah anda sedemikian rupa? Penulis harap anda bukan begitu!


Napolean Hill menyatakan bahawa, kejayaan itu pasti akan menjadi milik anda jika anda melalui jalan yang telah ditinggalkan oleh orang yang telah berjaya. Kejayaan yang diperolehi oleh seseorang itu, pasti akan meninggalkan tapak atau kesan kaki mereka semasa ‘berjalan’ menuju kejayaan itu. Bukankah mudah untuk kita mengikutinya kelak?


Kejayaan itu adalah hasil atau produk akhir yang dikecapi oleh manusia. Tetapi, perjalanan menuju kepada kejayaan adalah rahsia. Kebanyakkan orang yang telah berjaya mempunyai rahsia hidup mereka yang tersendiri yang merupakan seni dalam kehidupan yang sebenar. Hidup kita akan ‘kosong’ jika kita tidak memahami, mencari dan menggunakan formula dalam menuju kepada kejayaan ini. Mengapa saya katakan hidup anda ‘kosong’? kerana kebanyakkan minda orang-orang sekarang adalah lebih cenderung untuk meletakkan diri mereka ke dalam sistem kehidupan digital (SKD).


Apa itu SKD?


Pernahkah anda mendengar, apakah yang dimaksudkan dengan SKD? Saya yakin anda tidak pernah mendengarnya kerana SKD adalah istilah yang saya sendiri berikan! SKD ialah satu cara hidup digital yang sudah mempunyai corak kehidupan yang hanyalah bersifat 1 dan 0. Cara hidup orang SKD hanyalah 1 dan 0! Bukankah tu amat membosankan? Melakukan rutin harian yang hanyalah mempunyai kepentingan 1, kemudian balik berehat setelah penat bekerja, iaitu 0. Kemudian, keesokan harinya lagi, kembali kepada 1, mulai bekerja keras, kemudian, jam lima kembali ke rumah, kembali 0! Cuba anda bayangkan jika kehidupan anda 1 dan 0 sahaja selama berpuluh-puluh tahun! Bukankah kita pasti merasakan kekeringan di dalam kehidupan kita yang hanya bermain 1 dan 0 sahaja?


Apakah akibat atau kesan daripada SKD? Akhirnya manusia mula mencari formula yang mampu memberikan sedikit ruang untuk memuaskan atau menggembirakan diri mereka di antara 1 dan 0. Apakah yang akan mereka cari? Para pembaca sekalian, cuba anda lihat di sekeliling anda! Mengapa wujudnya pusat-pusat hiburan yang begitu besar, mewah dan dapat menambat hati orang untuk datang berhibur? Mengapakah wujudnya taman-taman hiburan yang berskala mega di dalam dunia ini dengan alasan hanya untuk menghiburkan hati? Berseronok bersama keluarga dan rakan-rakan sepejabat? Mengapakah wujudnya hiburan-hiburan yang begitu banyak sehinggakan hiburan yang bersifat luar kebiasaan manusia turut menjadi tarikan kepada manusia hari ini?


Pornografi, hedonisme dan sebagainya telah wujud di dalam dunia hiburan, malah menjadi salah satu dunia perniagaan yang agak laris yang mana mampu menghiburkan diri setelah lama hidup dengan cara 1 dan 0, iaitu SKD tadi! Jika kita bertanyakan kepada orang yang menghabiskan masanya di pusat-pusat hiburan setelah pulang dari waktu bekerja; mengapa mereka ke sana? Saya yakin mereka pasti akan menjawab; untuk mengisi kekosongan!


Kehidupan kita amat berharga dan amat menarik serta unik sekali! Jika kita mengisi ruang dan peluang ini dengan sesuatu yang mengelirukan dan itu menjadi agenda utama dalam menyeru kepada kejayaan, saya yakin kita akan keliru dalam mendefinasikan kejayaan yang sebenarnya…

Pemimpin

Kita sudah mengenali dan mengetahui akan ke semua kebolehan serta potensi yang telah ‘diberikan’ dan ‘diciptakan’ untuk kita menggunakannya. Kesemua potensi ini adalah satu anugerah dan ia seperti satu hadiah yang amat luar biasa yang tidak pernah dimiliki sebelum ini! Bukankah begitu? Namun yang demikian, kita harus menghargai dan terus menggunakan semua potensi ini dengan baik. Mengapa saya mengatakan begitu?

Saya ingin bertanyakan kepada anda. Kebanyakkan dari kita ada yang bersetuju bahawa pemimpin yang wujud di muka bumi ni adalah seperti dilahirkan (born to be…). Pemimpin yang agung, yang menjadi lagenda di dalam kehidupan masyarakat mahupun sosial, seolah-olah telah di tetapkan dan tidak boleh berubah. Adakah anda juga berfikiran seperti itu? Adakah anda yakin bahawa pemimpin tidak boleh ‘dicipta’ dan dilatih? Bagi pandangan saya, pemimpin boleh di latih dan dibimbing. Pemimpin bukanlah dilahirkan tetapi dihasilkan.

Pemimpin itu bukanlah semestinya anda menjadi Presiden, Perdana Menteri dan mereka yang berjawatan tinggi di dalam tingkatan sosial mahupun tahap pekerjaan anda, tetapi sekurang-kurangnya, anda menjadi pemimpin kepada diri sendiri, keluarga anda, organisasi kecil anda dan mereka yang terdekat dengan diri kita. Semuanya itu menjadi peranan dan tugas masing-masing di dalam memastikan semua ‘tugas’ tersebut berjalan dnegan baik. Saya yakin, jika timbul suatu masalah di dalam kehidupan seharian kita, pasti ia berkaitan dengan persoalan ‘pengurusan’ bukan? Setidak-tidaknya, anda akan mengalami situasi; siapa yang sepatutnya menguruskan hal ini?, Bukankah awak yang bertanggungjawab untuk semua ini? Dan lain-lain. Semua ini berkaitan dengan kepimpinan.

Apabila kita melihat dan merenung kembali akan hal-hal yang berlaku di sepanjang zaman, malah di dalam kehidupan anda sendiri. Setujukah anda jika saya katakan bahawa, pemimpin akan muncul akibat dari ‘ransangan’ sekeliling dan akhirnya timbul suatu tindakan yang perlu diisikan dengan satu kepimpinan yang terancang. Apakah maksud saya dengan ‘ransangan’? saya berikan satu contoh mudah dan saya yakin, mungkin di kalangan anda turut merasai pengalaman ini. Jika anda dan rakan anda berlima, merancang untuk masuk ke dalam hutan tebal. Setibanya anda dihutan tersebut, perkara yang pertama sekali, dengan tidak disengajakan, pasti akan ada di kalangan anda yang mencadangkan, ‘kamu jadi ketua’ atau ‘kita lantik dulu siapa yang akan jadi ketua? Bukankah itu akan memudahkan?’, ‘sebelum kita masuk ke dalam hutan ini, mari kita lantik dahulu siapa yang akan jadi ketua’. Bukankah soalan-soalan ini biasa anda dengar dan ucapkan pada ketika anda mengalami dan berhadapan dengan satu keadaan?